kisah:RABI'AH AL-ADAWIYAH, TAK KAHWIN SAMPAI KE MATI




PERISTIWA PERTAMA:

SESEORANG BERTANYA: “WAHAI RABIAH, TIDAKKAH  ENGKAU PERNAH MENERIMA PINANGAN DAN LAMARAN DARI LELAKI?”.

RABIAH: “CINTA DAN KASIHKU KEPADA ALLAH TELAH MENUTUP HATIKU UNTUK MENERIMA SELAIN DARI DIRI-NYA”.

PERISTIWA KEDUA:

SEORANG KERABATNYA BERTANYA: “KENAPA ENGKAU TIDAK BERKAHWIN WAHAI RABIAH?”.

RABIAH: “TIDAK ADA TEMPAT DI HATIKU KECUALI UNTUK KEKASIH SEJATI”.




SESUNGGUHNYA Rabiah Al-Adawiyah “mencintai Allah dengan sepenuh hati dan jiwanya. Dia mencintai Zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Dia bertafakur, berzikir mmemaknai segala sesuatu tentang Kuasa dan Kebesaran-Nya, sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Allah. Dia relakan menjadi perawan abadi, dia tidak ingin berkahwin, bukan kerana tidak ada yang meminangnya, dia memilih hidup bersendiri kerana tidak tertarik dengan kenikmatan alam realiti di dunia yang memperdaya”.Demikian tutur Misbah Em Majidy ketika berbicara tentang cinta Rabiah Al-Adawiyah kepada Allah S.W.T.



"Oh Tuhan betapa agung dan indah Diri-Mu,
Malam-malamku hangus terbakar kerinduan, merayu-Mu, Air mataku kering dek rindukan pada-Mu".RAW.


Mengikut Rabiah Al-Adawiyah cintakan makhluk tidak akan memberikan kebahagian yang abadi, kerana tidak berkekalan. Malah sering membuat seseorang menderita dan merana kerananya. Hanya cinta kepada Allah sahaja yang akan membuahkan kebahagian dan kenikmatan yang kekal abadi.
Kepada pertanyaan, kenapa dia kerap menangis, walaupun melakukan kesilapan yang kecil, ataupun lupa kepada Allah walaupun sedetik sahaja beliau menjawab, “Aku takut berpisah dengan Allah walaupun sedetik, dan aku tidak boleh hidup tanpa-Nya. Aku takut Tuhan berkata kepadaku, ketika akan menghembuskan nafas terakhriku, “Jauhkan dia dari-Ku, kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku”.


Justeru itu Rabiah Al-Adawiyah menumpukan penuh perhatiannya kepda beribadat kepada Allah yang dicintainya dengan sepenuh hati dan jiwanya. Beliau memuji dan memuja-Nya dengan penuh keikhlasan, sepenuh perasaan dan jiwa raganya tanpa mengharapkan apa-apa pembalasan. Beliau telah menyingkirkan dari relung jiwanya segala-galanya yang berbentuk keduniaan dan mengabdikan seluruh jiwa raganya hanya semata-mata kepada Allah S.W.T.


Ketika berdialog dengan Allah beliau antara lain sering mengunggkapkan kata-kata sebagai seorang sufi yang kemudiannya menjadi kata permata yang sentiasa menjadi buah sebutan,”Wahai Tuhanku, apa sahaja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah sahaja kepada musuh-musuhku, dan apa sahaja kebaikan yang hendak Engkau kurniakan kepadaku  berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya berkehendakkan Engkau dan kerana Engkau. Biarlah aku tidak mendapat syurga atau neraka. Aku berkehendakkan pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada Engkau ialah berilah kepadaku sepanjang hayatku, dapat mengingati-Mu, dan bila aku mati kelak berilah aku dapat meningati-Mu”.


Beliau juga sering berdoa, “Ya Allah! Jika ibadatku hanya untuk menjauhkan diriku daripada api neraka-Mu, maka kelak bakarlah aku dengan api neraka-Mu. Jika sembahku hanya untuk mendapat syurga-Mu, maka haramkanlah syurga-Mu atas diriku. Sekiranya ibadahku hanya ingin beroleh kasih sayang-Mu, berilah aku kurnia agung-Mu. Anugerahkan kepadaku nikmat boleh melihat  Wajah-Mu, wahai Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mulia”


Pada waktu malam beliau juga berdoa, “Oh Tuhanku! Bintang-bintang bersinar gemerlapan, manusia sudah tidur nyenyak dan raja-raja telah menutup pintunya, setiap orang bercinta sedang asyik dengan kesayangannya dan di sinilah aku bersendirian bersama-Mu”.


Kerana cintanya kepada Allah begitu agungnya, beliau enggan membenarkan sesuatu apa pun muncul sebagai batu-batu kerikil yang dapat menghadang aliran cintanya kepada Allah. Tidak juga perkahwinan.   Sedangkan sudah menjadi kebiasan kepada semua makhluk, khususnya manusia, baik lelaki atau perempuan untuk hidup berpasangan. Mencari suami kepada wanita, dan mencari isteri kepada lelaki. Mereka berkahwin atau bernikah mengikut keprcayaan atau agama masing-masing.


Sedangkan Rabiah Al-Adawiyah adalah seorang wanita jelita yang kecantikannya tidak kalah dengan wanita-wanita sezaman dengannya. Beliau juga mempunyai suara merdu yang mempesonakan orang yang mendengarnya jika dia mengalunkan suara untuk menyanyi. Beliau pernah dilamar untuk dijadikan isteri, tapi beliau menolaknya, semata-mata kerana cintanya kepada Allah,


Beliau menghabiskan masa malamnya dengan menghampirkan dirinya kepada Allah dengan beribadat, berzikir dan membaca al-Quran sambil meratap dan menangis dan bermunajat kepada Allah memohon petunjuk, keredaan dan keampunan-Nya. Memang selayaknya beliau telah dianugerahkan sebagai seorang kekasih Allah.


Menyingkap secebis riwayat Rabiyah Al-Adawiyah, beliau dilahirkan pada abad pertama Hijriah, di Kota Basrah yang trletak di pinggir Sungai Dajlah, Iraq. Beliau adalah anak keempat dan anak bongsu dari sebuah keluarga yang miskin. Ayahnya Ismail bin Muhammad Dawi, seorang yang warak. Keluarga mereka adalah sebuah keluarga yang taat kepada agama, dan menjadikan al-Quran sebegai teman hidup mereka sekeluarga. Malah Rabiyah Al-Adawiyah telah menghafal al-Quran sejak masih kanak-kanak lagi.


Beliau pernah mengingatkan ayah kesayangannya dengan kata-kata yang penuh denga makna, “Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana kelaparan di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat nanti”.



"Dan sujudlah dan dekatkanlah [dirimu kepada Tuhan".-Al-Alaq:19.


Rabiatul Al-Adawiyah meninggal dunia pada tahun 801 Masihi, dimakamkan di  kediamannya. Ramai sekali orang mengiringi jenazanya ke tanah perkuburan di mana beliau disemadikan sebagai seorang hamba yang melimpahruahkan seluruh cinta murninya kepada Allah, mereka termasuklah orang-orang soleh dan ahli-ahli sufi.


Walaupun beliau telah lama pergi, tapi masih tetap menjadi ingatan dan sebutan orang sampai ke hari ini. Beliau adalah pencetus ajaran mencintai Ilahi, malah dianggap sebagai pengasas mazhab cinta dalam Islam. Kehadirannya tetap menjadi cabaran kepada seluruh umat Islam, baik lelaki atau perempuan untuk menyambungkan perjuangan cinta murninya kepada Kekasih mereka Yang Maha Pencipta.


Menurut Misbah Em Majidi, “Rabaiah Al-Adawaiyah mengenalkan kepada ummat Muhammad, bahawasannya cinta adalah tanda kehidupan spirtual seorang Muslim, yang sedemikian itu, hakikat iman dalam Islam ditegakkan di atas sendi-sendi cinta dan Rahmat [kasih sayang]. Rabiah Al-Adawiyah adalah wanita yang utuh dalam mengabadikan dirinya kepada Allah, hidupnya untuk dan demi Sang Kekasih Sejati”.


Demikian sekilas pandang wanita yang agung ini, Rabiah Al-Adawiyah yang berjaya  menegakkan cinta kepada Ilahi mengatasi segala cinta yang dianggapnya sebagai palsu belaka, cinta yang tidak akan membawa manusia ke mana-mana, selain daripada kehampaan dan kekosongan kerana disaluti oleh wajah-wajah cinta keduniaan yang fana dan palsu ini.


Sumber : pondokrahmat
loading...
0 Komentar untuk "kisah:RABI'AH AL-ADAWIYAH, TAK KAHWIN SAMPAI KE MATI"

 
Copyright © 2014 WORLD NEW STORY - All Rights Reserved
Template By Catatan Info