kisah Usamah Bin Zaid, Insan Kesayangan Rasulullah SAW


Usamah bin Zaid bin Haritsah lahir di Mekah pada tahun ke-7 sebelum hijrah. Beliau merupakan anak dari seorang sahabat juga anak angkat Rasulullah iaitu, Zaid bin Haritsah dengan Ummu Aiman, pengasuh Rasulullah SAW ketika kecil.


Kehidupan Usamah bin Zaid yang dikelilingi dengan persekitaran baik telah membantu dirinya untuk membesar dengan watak yang sempurna. Beliau terkenal dengan keperibadian yang baik, cerdik, pintar, bertaqwa, warak dan mencintai Allah SWT.

Selain itu, beliau turut mempunyai keberanian luar biasa, pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya, tahu menjaga kehormatan, sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan tercela, pengasih, dan dikasihi oleh kebanyakan orang.

Usamah bin Zaid diberi gelaran ‘al-Hibb wa Ibnil Hibb’ yang bermaksud ‘Kesayangan (dari) Anak Kesayangan’ dan ‘Hibb Rasulillah’, ‘Jantung Hati’ Rasulullah kerana Baginda sangat mencintainya sehingga menjadikan Usamah bin Zaid sebagai salah seorang anggota keluarga Baginda dan orang yang sangat dikasihi dalam Islam.

Kegembiraan kaum Muslimin dan sayangnya Rasulullah SAW kepada Usamah bin Zaid melebihi kegembiraan mereka terhadap kelahiran bayi-bayi lainnya. Beliau juga sebaya dengan cucu Rasulullah, Hasan bin Ali bin Abi Talib. Namun, Baginda sangat menyayangi kedua-duanya tanpa sedikit pun beza.

Ketika mereka masih kecil, Baginda SAW sering mengambil Usamah bin Zaid dan meletakkannya di salah satu paha Baginda. Kemudian, diambilnya pula Hasan, dan diletakkannya di sebelah lagi paha Baginda. Kemudian, kedua anak itu dirangkul bersama-sama ke dadanya, sambil berkata,


“Wahai Allah, aku menyayangi kedua-dua anak ini, maka sayangi pulalah mereka.”

Pernah suatu ketika, Usamah bin Zaid tersadung pintu sehingga keningnya luka dan berdarah. Rasulullah menyuruh Aisyah membersihkan darah dari luka Usamah bin Zaid itu, tetapi Aisyah tidak mampu melakukannya.


Dengan segera, Rasulullah mendapatkan Usamah bin Zaid lalu dihisap darah yang keluar dari luka kanak-kanak itu dan diludah. Kemudian Baginda memujuk cucu angkatnya itu dengan kata-kata manis yang menyenangkan. Rasulullah SAW amat menyayangi Usamah bin Zaid sehinggalah beliau menginjak dewasa.

Suatu hari, Hakim bin Hazam, seorang pemimpin Quraisy menghadiahkan sehelai pakaian mahal kepada Rasulullah SAW. Hakam membeli pakaian itu di Yaman dengan harga 50 dinar emas daripada Yazan, seorang pembesar Yaman. Rasulullah enggan menerimanya sebagai hadiah dari Hakam kerana ketika itu dia masih musyrik.

Lalu, pakaian itu dibeli oleh Baginda dan hanya dipakainya sekali ketika hari Jumaat. Kemudian, Baginda menghadiahkan pakaian itu kepada Usamah bin Zaid. Beliau amat menghargai pemberian Baginda, lalu dipakainya setiap masa sama ada pagi, petang, malam dan di mana-mana sahaja.

Sewaktu terjadinya Perang Uhud, beliau masih remaja. Beliau datang menemui Rasulullah SAW bersama-sama dengan sekumpulan kanak-kanak yang sebaya dengannya yang terdiri daripada anak-anak para Sahabat.

Kata mereka,


“Wahai Tuan, kami juga ingin turut sama berjuang fi sabilillah.”

Rasulullah tersenyum lalu memilih antara mereka. Ada sebahagian yang diterima dan sebahagian lagi ditolak kerana usia yang terlalu muda.

Usamah bin Zaid termasuk dalam kelompok kanak-kanak yang tidak diterima. Lalu, beliau pulang sambil menangis kerana sangat sedih tidak dibawa berperang oleh Rasulullah.

Namun, beliau tetap bertekad untuk tetap menyertai peperangan bersama-sama Rasulullah SAW kelak.

Manakala dalam Perang Khandaq pula, Usamah bin Zaid datang lagi bersama dengan rakan-rakan remajanya. Beliau berdiri tegap di hadapan Rasulullah supaya kelihatan lebih tinggi, agar dipilih oleh Baginda untuk turut serta dalam peperangan.

Rasulullah SAW berasa kasihan dengan usaha cucu angkat kesayangannya itu yang berkeras hati ingin turut berperang. Disebabkan itu, Baginda mengizinkan Usamah bin Zaid menyertai perang itu.

Usamah bin Zaid sangat gembira dan berazam untuk berjihad bersungguh-sungguh di jalan Allah. Ketika itu beliau baru berusia 15 tahun.

Dalam Peperangan Hunain, apabila para tentera Muslimin menjadi kacau-bilau dan tidak tersusun, Usamah bin Zaid tetap bertahan bersama-sama dengan Abu Abbas, bapa saudara Rasulullah, Sufyan bin Harits bersama enam sahabat Rasulullah yang lain.

Dengan kumpulan kecil ini, Rasulullah berjaya mengembalikan kemenangan kepada pasukan Muslimin. Dan menyelamatkan pasukan Islam dari dikejar oleh kaum Musyrikin.

Dalam Perang Muktah pula, Usamah bin Zaid turut berperang di bawah pimpinan ayahnya, Zaid bin Haritsah. Ketika itu umurnya kira-kira 18 tahun. Dalam peperangan itu, beliau menyaksikan sendiri bapanya gugur sebagai syuhada di medan tempur itu.

Tetapi, beliau tidak takut dan tidak mundur. Bahkan, beliau terus bertempur dengan gigih di bawah pimpinan Jaafar bin Abi Talib hingga Jaafar syahid di hadapan matanya. Usamah bon Zaid menyerbu di bawah pimpinan Abdullah bin Rawahah hingga pahlawan ini juga gugur sebagai syahid.

Kemudian, pimpinan diganti oleh Khalid bin al-Walid. Beliau terus bertempur dengan jumlah tentera yang tinggal sedikit, sehingga akhirnya kaum Muslimin berjaya melepaskan diri dari cengkaman tentera Rom.

Tamat saja peperangan, Usamah bin Zaid kembali ke Madinah dan jasad ayahnya dikebumikan di bumi Syam.

Sungguh banyak jasa Usamah bin Zaid dalam menegakkan Islam. Beliau juga menjadi pemimpin yang berjaya menyebarkan risalah Islam di Rom. Sepanjang hidupnya, beliau sentiasa berada di tempat terhormat dan dicintai kaum Muslimin. Beliau sentiasa mengikuti sunnah Rasulullah dengan sempurna dan memuliakan peribadi Baginda SAW.

Setelah menjalani kehidupannya bersama-sama para sahabat, Usamah bin Zaid wafat pada tahun 53H bersamaan tahun 673M semasa pemerintahan Khalifah Muawiyah dan pergolakan dengan Ali bin Abi Talib masih berlaku.
loading...
0 Komentar untuk "kisah Usamah Bin Zaid, Insan Kesayangan Rasulullah SAW"

 
Copyright © 2014 WORLD NEW STORY - All Rights Reserved
Template By Catatan Info